LATEST NEWS
Kejohanan Badminton Siri Super Terbuka Malaysia Maybank yang membuka tirai esok di Stadium Putra Bukit Jalil menjanjikan kualiti saingan terbaik meskipun berlaku penarikan diri dua beregu lelaki utama dunia ketika ini iaitu Cai Yun-Fu Haifeng dan Jung Jae Sung-Lee Yong Dae.
Kejohanan yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan AS$400,000 (RM1.26 juta) itu tetap dibanjiri sekumpulan bintang yang berkedudukan dalam ranking 10 terbaik dunia memandangkan kesemua negara kuasa badminton dunia menghantar pasukan terkuat masing-masing.
Lagipun, tumpuan utama para peminat badminton tanah air sudah tentu terarah kepada permusuhan antara jaguh kebanggaan kita, Datuk Lee Chong Wei dengan seteru utamanya, Lin Dan.
Terdapat fakta menarik yang pastinya menghangatkan lagi pertembungan kali ini.
Tatkala Chong Wei turun memburu gelaran kelapan untuk menyamai rekod Wong Peng Soon yang gah tidak tergugas sejak 1953, musuhnya, jaguh berkarakter yang mendapat jolokan ‘Super Dan’ masih tercari-cari gelaran sulung di bumi kita.
Lin Dan mungkin telah mengecapi kejuaraan \'Grand Slam\' badminton termasuk Kejohanan Dunia, Sukan Olimpik, Sukan Asia dan All-England, namun mahu menang di Malaysia seolah-olah menjadi misi paling sukar bagi dirinya.
Sementara itu, ketidak hadiran dua pasangan No.1 dan No.2 dunia patut dimanfaatkan sepenuhnya oleh Koo Kien Keat-Tan Boon Heong untuk bangkit daripada prestasi hambar sepanjang musim 2011 dan kekalahan mengejut pada pusingan kedua Terbuka Korea minggu lalu.
Kien Keat-Boon Heong perlu menjadikan kejayaan menjuarai edisi 2007 dan 2010 sebagai inspirasi untuk cuba menakluk gelaran ketiga dan lebih penting menjulang semula semangat mereka yang kian merudum.
Lain-lain pemain Malaysia, tidak kira pemain remaja, pelapis mahu pun mereka yang bergelar pemain bebas, juga harus mengambil kesempatan beraksi di tempat sendiri untuk mencapai misi masing-masing.
Beregu naungan KLRC, Gan Teik Chai-Tan Bin Shen dan Zakry Abdul Latif-Fairuzizuan Tazari mahu memburu mata kelayakkan Olimpik, sementara sekumpulan pemain muda seperti Lim Khim Wah-Goh Wei Shem, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying serta juara remaja dunia, Nelson Heg Wei Keat-Teo Ee Yi ingin membuktikan kematangan mereka.