LATEST NEWS
Jaguh perseorangan Korea Selatan, Lee Hyun Il pastinya mengharapkan tuah angka lapan pada Kejohanan Badminton Siri Super Terbuka Malaysia Maybank dibawa oleh Proton.
Hyun Il, 31, bakal membuat penampilan kelapan dalam kejohanan ini yang tidak pernah dimenanginya sejak mula beraksi pada 1998.
Pencapaian terbaiknya adalah mara sehingga ke final pada 2008, ketika itu tewas kepada Datuk Lee Chong Wei 15-21, 21-17, 21-17.
Pada 2006, dia juga ditunjukkan jalan keluar oleh Chong Wei pada separuh akhir.
Hyun Il diundi bertemu pemain Denmark,Hans-Kristian Vittinghus pada aksi pembukaan dan diramal melangkah ke pusingan kedua bertemu pemain muda kian meningkat China, Chen Long.
Bagaimanapun, ia sedikit pun tidak menggusarkan pemenang pingat perak Sukan Asia 2002 Busan yang optimis dengan peluangnya untuk pergi jauh.
“Chen Long adalah pemain muda, jadi mempunyai kelebihan dari segi tenaga dan stamina.
“Saya pula akan menggunakan segala berpengalaman, bukan mustahil untuk mahu menewaskannya,” kata Hyun Il yang pernah menumpaskan pemain No.3 dunia itu sekali dalam empat pertemuan iaitu di Terbuka Singapura, Jun lalu.
Sekiranya berjaya mengejutkan Chen Long, Hyun Il patut bertemu pemain Jepun Sho Sasaki dan berpotensi mengatur pertemuan separuh akhir dengan Chong Wei.
Dalam pada itu, Hyun Il turut mengumumkan, dia merancang untuk bersara buat kali kedua selepas Olimpik London.
Dia sebelum ini bersara selepas Olimpik 2008 Beijing, tetapi mengumum keluar persaraan untuk kembali mewakili skuad kebangsaan Korea di Piala Thomas pada 2010.