LATEST NEWS

Hanya Saina boleh meroboh ‘tembok besar’
14 Jan 2012

Sama ada kejuaraan perseorangan wanita Terbuka Malaysia akan terus dikuasai pemain China atau tidak kini terletak di tangan Saina Nehwal.

Bintang sensasi India itu adalah satu-satunya pemain bukan China di separuh akhir hari ini selepas dia menundukkan jaguh Denmark, Tine Baun semalam.

Sejak 1998, gelaran perseorangan wanita didominasi sepenuhnya pemain-pemain wanita Cina, kecuali dua daripadanya dinafikan Baun pada edisi 2008 dan 2009.

China merampas kembali pada dua tahun seterusnya menerusi Wang Xin (2010) dan Wang Shixian (2011), justeru adakah Saina yang merupakan juara remaja dunia 2008, mampu merobohkan \'tembok besar\' kali ini.

Tiga \'Wang\' - Yihan, Xin dan Shixian - yang masing-masing berstatus pemain No.1,2, dan 3 dunia, berada di separuh akhir dengan Yihan pastinya mendahagakan gelaran sulung di Malaysia.

Saina akan bertemu Yihan yang tidak pernah dia tewaskan dalam kesemua empat pertemuan sebelum ini, termasuk kekalahan terbaru pada perlawanan akhir Siri Super Akhir di Liuzhou, Disember lalu.

Rekod pertemuan Saina dengan pemain China sememangnya kurang memberangsangkan, namun berdasarkan prestasi semasa, Saina adalah pemain yang dilihat mampu menyekat dominasi China bukan sahaja di Terbuka Malaysia ini, tetapi di Olimpik nanti.

Dengan tiga \'Wang\' hampir pasti beraksi di Olimpik, persembahan Saina menentang dua daripada tiga pemain handalan China itu di separuh akhir dan akhir (jika layak), akan menjadi pentas terbaik melihat sejauh mana peluang Saina di Olimpik nanti.

BACK TO LATEST NEWS