LATEST NEWS

Peng Soon kecewa
14 Jan 2012

Beregu campuran utama Malaysia, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying dinafikan kemaraan ke aksi final sulung kejohanan bertaraf Siri Super selepas tewas kepada pasangan No.1 dunia, Zhang Nan-Zhao Yunlei pada separuh akhir Terbuka Malaysia Maybank.

Kekalahan straight set 13-21, 16-21 beregu No.11 dunia, Peng Soon-Liu Ying kepada juara dunia dari China itu adalah yang keempat berturut-turut selepas kali terakhir ditewaskan di Terbuka Denmark tahun lalu.

Peng Soon-Liu Ying yang sebelum ini merupakan semi finalis Terbuka China 2010 dan Terbuka India tahun lalu, memasang impian untuk layak ke final Siri Super buat kali pertama dan andai berjaya, berhajat membuat kejutan merangkul gelaran pertama pertandingan berprestij itu.

Bagaimanapun, mereka langsung tidak mampu menggugat kehebatan beregu handalan China itu dan menyerah dalam tempoh 33 minit.

Jurulatih mereka, Jeremy Gan berkata: “Peng Soon-Liu Ying gagal mempamerkan aksi sebenar kerana terlalu menghormati lawan.”

Peng Soon pula mempunyai perasaan bercampur berhubung kekalahan di separuh akhir itu.

“Saya tidak tahu bagaimana mahu menerangkan perasaan saya. 

“Saya memang berpuas hati dan gembira berjaya melangkah sejauh separuh akhir, tetapi ada sedikit kekesalan kerana merasakan patut boleh lakukan yang lebih baik hari ini,” katanya.

BACK TO LATEST NEWS