LATEST NEWS

Chong Wei hampiri rekod
15 Jan 2012

Jaguh perseorangan negara, Lee Chong Wei hanya selangkah dari menyamai rekod lapan gelaran Terbuka Malaysia yang dipegang lagenda badminton Malaya, mendiang Wong Peng Soon sejak 1953.

Peng Soon merupakan juara edisi 1940 dan 1941 sebelum kejohanan dihentikan sementara berikutan Perang Dunia Kedua.

Apabila ia disambung semula pada 1947, Peng Soon kembali mendominasi gelaran perseorangan lelaki sehingga 1953, hanya tercicir satu daripadanya pada 1948.

Selepas hampir enam dekad lamanya rekod itu tidak kelihatan akan digugat sesiapa, muncul jaguh Chong Wei - yang memenanginya sebanyak tujuh kali pada 2004, 2005, 2006, 2008, 2009, 2010 dan 2011 - untuk menyamai pencapaian itu hari ini.

Namun, pemain No.1 dunia itu perlu terlebih dahulu melepasi rintangan terakhir menentang pemain perseorangan utama Jepun, Kenichi Tago di Stadium Putra Bukit Jalil pada aksi final hari ini.

Di atas kertas, Chong Wei yang tidak pernah tewas kepada Kenichi dalam kesemua 10 pertemuan sebelum ini, terbaru di suku akhir Terbuka Korea minggu lalu, diramal tidak berdepan sebarang masalah mengetepikan lawannya itu.

Tetapi, Kenichi bukanlah calang-calang lawan dengan pemain No.12 dunia itu telah mempamerkan peningkatan mendadak sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Malah, Kenichi akan turun ke gelanggang hari ini dengan misi untuk melunaskan dendam peribadinya dengan Chong Wei.

Ini kerana, Chong Wei adalah orang yang sentiasa menjadi duri dalam daging Kenichi setelah dua kali menggagalkan usahanya meraih gelaran sulung Siri Super iaitu di All England 2010 dan Terbuka Perancis 2011.

Jika Chong Wei mempunyai kelebihan bermain di tempat sendiri, Kenichi juga tidak kurangnya kerana dia akan turun dengan kecergasan penuh memandangkan dia beraksi hanya beberapa minit pada perlawanan separuh akhir semalam disebabkan penarikan diri Chen Jin.

Chong Wei pula pastinya berasa penat setelah dikerah bertarung tiga set sebelum menjinakkan seorang lagi pemain China, Chen Long.

BACK TO LATEST NEWS