LATEST NEWS

Pingat Olympik jauh dari genggaman
15 Jan 2012

Juara beregu lelaki Terbuka Malaysia Maybank, Lee Sheng Mu-Fang Chieh Min mengambil sikap merendah diri apabila menyifatkan pingat Olimpik masih jauh dari genggaman.

Menurut Fang, kejayaan menamatkan kemarau kejuaraan selepas hampir dua tahun di Kuala Lumpur tidak membawa sebarang makna selain menyuntik keyakinan baru kepada prestasi mereka yang agak hambar sepanjang tahun lalu serta memberikan mereka mata penting untuk melayakkan mereka ke Olimpik.

“Pingat Olimpik? Tidak, tidak...kami tidak berani berfikir sejauh itu. Kami lebih mengambil berat mengenai kelayakkan terlebih dahulu.

“Kami menang di sini tanpa perlu berdepan tiga beregu terbaik dunia (Cai Yun-Fu Haifeng, Jung Jae Sung-Lee Young Dae dan Matias Boe-Carsten Morgensen).

“Justeru, menang Terbuka Malaysia tidak bermakna kami sudah boleh dianggap sebagai pasangan utama dunia.

“Lebih mustahak untuk kami adalah kejuaraan ini melonjakkan kedudukan ranking kami dan ia dijadikan sebagai batu loncatan,” kata Fang yang mula berganding dengan Lee sejak lapan tahun lalu.

Fang-Lee meraih hadiah tunai lumayan berjumlah AS$31,600 untuk kejayaan mereka.

Ia adalah kejuaraan pertama Siri Super buat Fang-Lee sejak menjuarai Terbuka Indonesia dan Singapura pad 2010.

BACK TO LATEST NEWS